Saturday, September 6, 2008

Berita Semasa ( Harian Metro :Sabtu, 06 September 2008 )

Ugut terjun bangunan


JOHOR BAHRU: Akibat putus cinta, seorang lelaki menggemparkan pengunjung sebuah pusat beli-belah di Tebrau City di sini, petang semalam apabila memanjat ke bumbung premis berkenaan sambil membawa pisau dan mengancam untuk terjun.

Bagaimanapun, drama bermula kira-kira jam 3.30 petang itu berakhir 90 minit kemudian apabila lelaki berusia 26 tahun dari Kluang itu menangis dan menyerah diri selepas dipujuk anggota polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).

Pegawai Penjaga Balai Bomba Taman Johor Jaya, Jamhari Jumri, berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira jam 3.30 petang sebelum dua jentera dari balai berkenaan dan Johor Bahru dengan kekuatan lapan anggota dan pegawai dikejarkan ke tempat kejadian.

“Apabila tiba, kami mendapati lelaki itu bersenjatakan pisau dan memberitahu jika kekasihnya tidak datang, dia akan terjun. Kami menghubungi kekasihnya beberapa kali, tetapi wanita itu tidak mahu datang ke tempat kejadian kerana enggan terbabit dalam kes itu.


“Bagaimanapun, anggota JBP dan polis dapat menghampiri sebelum memujuknya supaya memikirkan mengenai keluarga dan masa depannya sehingga dia menangis seolah-olah insaf serta tidak melawan ketika menyerah diri dan dibawa turun dari bumbung pusat beli-belah itu kira-kira jam 4.55 petang.

“Lelaki itu dipercayai bertindak demikian kerana putus cinta dan dia turut membaling surat cinta dari atas bumbung pusat beli-belah berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaakob, berkata lelaki terbabit bekerja sebagai peniaga keropok lekor di sebuah pasar raya borong di Plentong dan bertindak demikian kerana kecewa dengan teman wanitanya iaitu penuntut sebuah kolej di Melaka yang berusia 20 tahun.

Beliau berkata, lelaki itu dapat dipujuk dan diselamatkan anggota JBP serta polis dan siasatan awal mendapati dia pernah menjalani rawatan sakit mental di Hospital Permai Tampoi di sini.

Menurutnya, lelaki itu ditahan polis sebelum diserahkan kepada pihak Hospital Permai untuk tindakan susulan.



p/s : Semoga fathi,papa dan seluruh warga rumah18 - tabahkan hati melalui detik2 sukar dalam hidup ini......

1 comments:

Anonymous said...

putus cinta..cari la cinta lain, cinta dgn manusia tak kekal..cinta dgn allah.kekal selamanya2..

mel gibson

Post a Comment